Widgetized Section

Go to Admin » Appearance » Widgets » and move Gabfire Widget: Social into that MastheadOverlay zone

3 ditahan kes tembak pegawai bank

SHAH ALAM 25 Okt. – Polis menahan dua pengawal keselamatan dan seorang wanita yang mempunyai kaitan dan dipercayai bersubahat dengan suspek lelaki yang menembak mati seorang pegawai operasi AmBank di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya, dekat sini kelmarin.

Dua pengawal keselamatan terbabit merupakan saudara kepada suspek manakala wanita itu pula merupakan isterinya. Kesemua mereka berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.

Ketiga-tiga suspek itu merupakan rakyat negara jiran tetapi dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Kemuning, Klang pada malam kejadian.

Susulan penahanan ketiga-tiga mereka, polis menemui wang tunai RM20,000, dipercayai sebahagian daripada RM450,000 hasil rompakan suspek dari peti besi bank berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, penahanan itu hasil siasatan pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyelesaikan kes rompakan dan menembak mati pegawai operasi bank tersebut.

Beliau berkata, polis percaya selepas melarikan diri dari bank berkenaan, pengawal keselamatan itu telah mengagih-agihkan sebahagian kecil hasil rompakan kepada ketiga-tiga suspek.

Menurut beliau, wang tunai RM20,000 itu disembunyikan di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya yang merupakan tempat kerja dua pengawal keselamatan yang ditahan.

“Polis sedang memburu suspek yang dipercayai masih berada di negara ini bersama hasil rompakan dan selaras pump gun yang digunakan untuk menembak mati mangsa.

“Kita juga percaya suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza, 37, bukan berasal dari Sabah, sebaliknya dari negara jiran dan dia dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu.

“Polis sedang menyiasat bagaimana suspek memperolehi kad pengenalan dan mempunyai permit senjata api,” kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Difahamkan, suspek yang diburu berasal dari Sulawesi, Indonesia.

Dalam kejadian pukul 6.18 petang kelmarin, Norazita Abu Talib, 37, bersama suspek serta empat kakitangan bank sedang membuka sebuah peti besi berisi wang sebelum suspek tiba-tiba melepaskan tembakan sejurus selepas pintu itu dibuka.

Tembakan itu mengenai muka Allahyarham Norazita mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.

Menurut Mohd. Shukri lagi, tiga yang ditahan kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan siasatan juga menjurus kepada penglibatan mereka dalam perbuatan jenayah suspek.

Beliau memberitahu, polis juga sedang menyiasat penyebaran gambar serta video kejadian rompakan di AmBank dan rakaman suspek menembak mati mangsa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kita telah membuat laporan dan sedang menyiasat adakah penyebaran itu dilakukan oleh anggota polis atau orang awam kerana perkara itu adalah satu kesalahan dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” tegas beliau.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>