Widgetized Section

Go to Admin » Appearance » Widgets » and move Gabfire Widget: Social into that MastheadOverlay zone

Rampas semula lapan kerusi DUN

Mohamad Hasan (tengah) bersama M. Sambanthan (kanan) dan pemimpin BN melaungkan 1Malaysia bersama ahli parti IPF selepas merasmikan perhimpunan khas parti berkenaan di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 3 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu jentera parti memberikan tumpuan di kawasan yang dimenangi tipis pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Dalam nada tegas, beliau juga mahu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimaksudkan itu kembali menjadi milik Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

“Sekurang-kurangnya kita sasarkan lapan kerusi DUN akan dirampas semula. Dua lagi kerusi Parlimen akan juga menjadi milik BN pada pilihan raya umum nanti,” katanya.

Mohamad bercakap kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan khas Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) di Wisma UMNO, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden IPF, Datuk M. Sambanthan serta barisan kepimpinan BN lain.

Antara kerusi DUN yang menjadi sasaran BN dalam pilihan raya umum akan datang ialah Bahau, Repah, Port Dickson, Chuah, Senawang, Nilai, Temiang dan Sikamat selain di Ampangan dan Paroi.

Kerusi Parlimen pula ialah di Telok Kemang dan Seremban.

Menurut beliau, apa yang penting ketika ini ialah strategi merampas kerusi itu dan bergerak dalam satu pasukan bagi memastikan kawasan tumpuan tersebut digempur dan kemenangan berpihak kepada BN.

“Kawasan putih, kita optimis akan dimenangi semula oleh BN. Namun begitu, jangan pula jentera berasa selesa, sebaliknya memastikan gerak kerja itu benar-benar berhasil ketika pilihan raya berlangsung kelak,” tegasnya.

Mohamad yang juga Menteri Besar memberitahu, saiz ahli komponen yang besar dalam BN mampu menumbangkan pembangkang dan perlu diuruskan dengan baik, sepakat dan bergerak dalam semangat setiakawan yang tinggi.

“Jangan silap formula. Jika strategi kita silap, maka kita akan kecundang. Jangan ada sabotaj dalam parti. Kita mahu menang dalam pilihan raya umum nanti,” katanya.

Dalam majlis itu, lebih 1,000 ahli IPF berhimpun menyatakan taat setia kepada BN dan bersedia membantu siapa juga calon BN dalam pilihan raya umum ini.

Sementara itu, Sambanthan berkata, parti itu pernah ditawarkan pembangkang bertanding di empat kerusi tetapi menolaknya kerana kesetiaan kepada BN.

“Kita tahu pembangkang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada masyarakat India. Kita percaya hanya BN yang telah memberikan kesejahteraan kepada kami. Kita tolak tawaran pembangkang. Kita setia dan akan terus bersama BN,” jelasnya.

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
N9@utusan.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>