Go to Admin » Appearance » Widgets » and move Gabfire Widget: Social into that MastheadOverlay zone
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Filipina akan memikirkan jalan terbaik berhubung sebarang tindakan undang-undang terhadap anggota kumpulan penceroboh bersenjata termasuk ketua mereka di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
“Ketua mereka sudah memberi kenyataan yang membangkitkan kemarahan dan kebencian. Apakah Filipina mempunyai undang-undang untuk mengheret dia ke mahkamah untuk tindakan sewajarnya.
Beliau turut ditanya sama ada Malaysia akan memohon ekstradisi Jamalul Kiram III. Pencerobohan bermula 12 Februari itu mengorbankan lapan anggota polis Malaysia dalam usaha mengusir mereka dari Sabah.
Sambil menarik perhatian Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Filipina, beliau berkata: “Oleh kerana semangat ASEAN, kita boleh minta ekstradisi meminta supaya mereka dibawa ke mari.”
Beliau memperjelaskan bahawa sebarang tindakan undang-undang yang diambil akan berlandaskan kepada apa yang sesuai dan baik untuk pihak Malaysia dan Filipina.
Beliau turut ditanya mengenai tindakan terhadap mana-mana penceroboh yang ditangkap, sama ada akan didakwa di Malaysia atau dihantar pulang ke negara mereka.
“Ini tertakluk kepada perbincangan kita. Presiden (Filipina) meminta mereka menyerah diri dan balik ke negara mereka, dan Filipina berjanji akan ambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang mereka.
“Cara kita, (jika) polis kita menahan (mereka), kita juga boleh menggunakan undang-undang kita. Jika ia berlaku, bolehlah perundingan dijalankan antara saya dengan Setiausaha Luar Filipina, cara mana yang terbaik,” katanya.
- BERNAMA