Go to Admin » Appearance » Widgets » and move Gabfire Widget: Social into that MastheadOverlay zone
Kuala Lumpur: Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang semalam memutuskan anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah tergolong dalam syahid akhirat.
“Jasa dan pengorbanan anggota keselamatan sangat besar kepada negara kerana mereka terkorban dalam mempertahankan keselamatan nyawa, harta, keluarga, maruah dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan tiga perenggan, semalam.
Beliau berkata, kerajaan juga sudah menggunakan kebijaksanaan dan memberi tempoh rundingan damai seperti yang dituntut dalam Islam bagi mengelakkan pertumpahan darah.
Pertahan hak
Katanya, bagaimanapun, jika mereka menolak proses perdamaian itu, pemerintah wajib melaksanakan tindakan demi mempertahankan hak dan kedaulatan negara.
Mohd Shukri menegaskan, menceroboh negara lain walaupun sesama Islam adalah haram kerana ia bukan milik mereka.
Penasihat kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadot, pula berkata, pencerobohan itu disifatkan sebagai perbuatan terkutuk dan menyalahi Islam.
“Tindakan mereka adalah haram sama sekali kerana melakukan pencerobohan ke atas apa yang bukan lagi hak milik mereka. Dalam al-Quran pun, Allah secara terang menegah manusia daripada mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.
“Malah, perbuatan pencerobohan itu juga kalau dinilai dari segi logik akal fikiran dan undang-undang juga, adalah salah dan keterlaluan,” katanya.
Satu jihad
Noh menyifatkan tindakan tegas diambil pihak berkuasa terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah satu jihad kerana bertujuan mempertahankan negara daripada ancaman musuh yang merosakkan.
“Saya menyokong 100 peratus tindakan tegas diambil pihak berkuasa ke atas pengganas kerana kita sudah memberi mereka tempoh yang cukup untuk melakukan sebarang perundingan secara damai,” katanya.
Pengurus Besar Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr Samsudin Munir, pula menganggap pasukan keselamatan yang bertungkus lumus mempertahankan negara ketika ini sama seperti dilakukan Nabi Muhammad SAW ketika baginda mempertahankan Kota Madinah.