Widgetized Section

Go to Admin » Appearance » Widgets » and move Gabfire Widget: Social into that MastheadOverlay zone

Anugerah sulung dalam FFM

 NAMA Faizal Hussein, 46, bukanlah nama baru dalam industri seni. Dia sudah dikenali sebagai pelakon yang sering membawa watak antagonis dalam lakonannya.

Dari kiri, Faizal, pekin ibrahim, Penerbit bunohan, nandita solomon, dain, zahiril adzim dan amerul affendi.

 Sudah hampir 31 tahun dia bergelumang dalam industri seni dan setiap watak yang dilakonkan sentiasa membawa impak kepada penonton.

Justeru, tidak hairanlah kemenangannya untuk Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menewaskan Shaheizy Sam, Pekin Ibrahim dan Zahiril Adzim sesuatu yang sudah dijangka.

Malah, tika nama Faizal diumumkan sebagai pemenang, seluruh penonton berdiri memberikan tepukan gemuruh seakan setuju dengan kemenangan itu.

Atas kemenangan itu, Faizal menerima sebuah trofi dan wang tunai berjumlah RM 15,000.

“Alhamdulillah, walaupun saya mengambil masa yang lama untuk memenangi anugerah ini, bagi saya ia satu penantian yang berbaloi,” tuturnya dengan riak wajah yang terharu.

Jelas Faizal, dia tidak menjangka akan membawa pulang anugerah itu kerana kemenangan yang diraih adalah sesuatu yang berlaku di luar jangkaan.

“Kali terakhir saya tercalon ialah pada tahun 1993 untuk anugerah yang sama dan selepas itu saya tidak pernah tercalon hingga sekarang.

“Waktu itu saya bersaing dengan pelakon hebat, Eman Manan dan saya tewas kepadanya,” jelasnya.

Semasa menerima anugerah juga, Faizal sempat berseloroh dengan mengatakan jika Eman Manan bertanding bersamanya kali ini, pasti dia yang akan menang.

Mengulas mengenai kemenangannya kali ini, Faizal berkata, ia adalah usaha yang keras semua yang terlibat dan bukannya melibatkan satu individu sahaja.

“Bagi saya kemenangan ini milik semua dan bukan hanya saya seorang sahaja. Saya sendiri bersyukur kerana dapat melibatkan diri dalam filem ini.

“Kalau ikutkan, watak yang saya lakonkan dalam Bunohan sebenarnya hendak ditukar kepada pelakon yang lain.

“Tetapi Dain yang yang berkeras mahu saya melakonkan watak itu dan tidak mahu watak itu dilakonkan oleh pelakon lain,” jelasnya.

Tambah Faizal, wataknya sebagai Ilham untuk filem Bunohan adalah watak yang paling susah untuk dibawanya sebagai seorang pelakon.

“Untuk watak Ilham, banyak benda yang saya harus belajar supaya saya dapat menjiwai watak itu.

“Sebelum turun ke lokasi pengambaran, saya terpaksa mengikut kelas dialek Kelantan dan belajar menggunakan lawi.

“Bukan sahaja itu, saya juga belajar untuk bersilat supaya dapat melakonkan adegan-adegan yang melibatkan pertarungan,

“Tidak cukup sekadar itu, saya juga dijemur oleh Dain untuk menggelapkan badan saya. Pelbagai persediaan dilakukan untuk membawa watak itu dan ia bukan sesuatu yang senang,” jelasnya.

Jelas Faizal, lepas filem Bunohan, dia mencari watak-watak yang lebih sukar lagi untuk dibawa olehnya.

“Memang saya cari watak yang lebih mencabar diri saya selepas filem Bunohan, tetapi ini tidak bermakna saya akan bersikap memilih selepas ini.

“Kalau ada tawaran, saya tidak akan tolak dan tidak kisah sebenarnya untuk melakonkan apa-apa watak sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Faizal turut menganggap bahawa anugerah yang diterima kali ini adalah mengembalikan semula Faizal Hussein dalam bidang lakonan.

“Kemenangan ini juga sebenarnya adalah sebagai petanda bahawa saya dan pelakon-pelakon lelaki lain yang seangkatan dengan saya masih lagi mampu bersaing dan melakonkan watak-watak utama dalam filem,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>