Widgetized Section

Go to Admin » Appearance » Widgets » and move Gabfire Widget: Social into that MastheadOverlay zone

Kualiti menjadi syarat utama

MELIHAT deretan majlis anugerah hiburan yang memenuhi kalendar hiburan kita, dapat disimpulkan industri yang pada mulanya bermula kecil kini menjadi antara kebanggaan negara kita. Malah melalui anugerah sebeginilah kita sebenarnya mengiktiraf hasil kerja setiap penggiat seni .

Dari kiri Mohd. Nasir Ali, Suhaimi Jamalin dan Rosyam Nor yakin Tribute P. Ramlee mampu membawa perubahan pada industri seni tanah air.

 Tatkala meneliti setiap anugerah yang diadakan, peminat kadangkala hanya disogokkan perkara yang sama sehingga gagal menghayati erti buah hasil seni. Bangkit daripada penyataan ini, pelakon, pengarah dan penerbit Rosyam Nor hadir dengan idea yang cukup berbeza untuk mewujudkan sebuah lagi anugerah iaitu Tribute P. Ramlee.

“Kami memilih nama Tribute P. Ramlee kerana kekuatan nama P. Ramlee itu sendiri. Percayalah sehingga kini industri kita tidak akan dapat dipisahkan dengan karya-karya Allahyarham.

“Namun anugerah ini bukanlah khusus untuk meraikan sumbangan beliau sahaja tetapi pada masa yang sama anugerah ini sebenarnya sedang mengiktiraf seniman dan seniwati sezaman beliau.

“Generasi muda kini semakin melupai perjuangan penggiat seni terdahulu, dan anugerah ini merupakan cara penghargaan yang paling tepat buat mereka,” katanya bersemangat.

Menerangkan dengan lebih lanjut mengenai anugerah yang julung kali diadakan ini, Rosyam percaya masih ramai di luar sana yang sangsi akan tujuan utama anugerah ini dilangsungkan. Mencari kesempurnaan di sebalik hasil karya, Pengarah Urusan Suhan Movies ini mengakui anugerah ini bukan sekadar anugerah biasa yang mengagungkan populariti lebih dari pencapaian.

“Benar memang negara kita sudah banyak menghasilkan anugerah, tetapi saya janji ini sesuatu yang cukup berbeza.

“Ini soal kualiti, anugerah yang akan berlangsung ini akan membuktikan kualiti setiap karya tersebut,” katanya.

Mewakili syarikat miliknya, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd, anugerah ini juga turut mendapat kerjasama penuh daripada pihak RTM dan Kumpulan Utusan. Menurut Rosyam, idea yang dicetuskan dirinya ini bermula apabila pihak RTM mengutarakan niat untuk mewujudkan sebuah program yang mampu membantu penjenamaan semula stesen penyiaran tertua negara itu.

“Idea ini mengambil masa setahun untuk direalisasikan. Bukan mudah untuk memulakan sebuah anugerah.

“Syukur dengan bantuan dari pihak RTM dan Utusan sendiri, kita dapat melihat anugerah ini sedang memahat kedudukannya,” kata Rosyam.

Bertindak sebagai penerbit kepada 10 buah telefilem yang dipertandingkan, menurut Rosyam tanggungjawabnya bukan sekadar menyiapkan telefilem tersebut, tetapi memastikan kualiti setiap telefilem tersebut menyamai apa yang dimahukan pihak RTM.

“Bermula dengan skrip, pemilihan pengarah dan pelakon, kami pastikan ia hanya yang terbaik.

“Namun saya tahu bukan mudah untuk Tribute P. Ramlee bersaing dengan anugerah sedia ada. Bagi saya cukuplah sekadar mengetahui anugerah ini bakal berterusan sebagai satu cara kita menghargai pejuang seni kita tidak kira lama atau baru,” katanya ringkas.

Bukan soal tamak

Menjawab soalan yang kononnya Rosyam dilihat terlalu ‘berkuasa’ di dalam Tribute P. Ramlee ini sehingga ada yang merasa tidak adil, Rosyam sedia menerangkan keadaan sebenar.

Menurutnya, isu ini tidak perlu hadir memandangkan dia bukanlah satu-satunya pihak yang membuat keputusan.

“Saya mengambil alih tanggungjawab sebagai penerbit kerana saya sudah berjanji dengan pihak RTM sendiri tentang kualiti yang saya janjikan.

“Jika terlalu banyak tangan, saya takut perkara ini akan menjadi lebih rumit ialah bukan mudah untuk menjaga kualiti seperti yang telah dijanjikan,’ katanya.

Tidak mahu perkara ini terus menjadi isu, bagi Rosyam apa yang penting kini, Tribute P. Ramlee edisi pertama sudah sampai ke kemuncak. Harapannya adalah amat tinggi untuk melihat kejayaan anugerah ini terus menjadi inspirasi buat penggiat seni kita.

“Elemen yang mesti ada pada setiap telefilem ini adalah menggunakan salah satu lagu dari karya Allahyarham P. Ramlee, yang kami percaya semua juga bersetuju untuk mengatakan setiap karya beliau masih relevan sehingga ke zaman ini.

“Dan pada malam kemuncak itu nanti, bukan setakat pelakon serta pengarah dari telefilem itu sahaja yang akan diberikan penghormatan tetapi seniman serta seniwati kita juga akan dijemput pada malam itu,” katanya.

Bermula dari usahanya, dia mahu Tribute P. Ramlee menjadi satu anugerah yang akan kekal dengan tujuan utamanya iaitu untuk menghargai nilai seni yang berkualiti.

“Ini idea saya, secara dasarnya memang saya yang memulakan ia dari bawah.

“Selain untuk memberi pengiktirafan, anugerah ini juga sebenarnya diharap dapat membuka mata banyak pihak tentang pelaburan yang sepatutnya diterima industri ini untuk menghasilkan sesebuah karya yang baik,” katanya.

Saingan terlalu sengit

Membandingkan umur Tribute P. Ramle yang baru hendak bermula, dengan reputasi barisan pengarah serta pelakon yang tercalon dapat kami andaikan ia bukan mudah untuk mencari yang terbaik dari kalangan yang terbaik. Menurut Rosyam dia tahu tugas berat yang dipikul juri pada malam tersebut, namun dia percaya keputusan yang akan diumumkan bakal menentukan kesinambungan Tribute P.Ramlee.

“Memang dari mula lagi saya sudah tentukan hanya yang terbaik yang akan dicalonkan.

“Bukan sekadar menjaga kualiti setiap produk tetapi ini juga merupakan salah satu cara untuk kami meletakkan anugerah ini berbeza dari anugerah lain,” katanya.

Berkongsi harapannya pada masa hadapan, impian Rosyam adalah untuk melihat anugerah ini diteruskan sebagai anugerah tahunan.

“Saya harap ia akan diteruskan sebagai anugerah tahunan, dan terus mempertandingkan karya dari penggiat seni terbaik negara.

“Dan semestinya kali seterusnya anugerah ini akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik pula,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>