Widgetized Section

Go to Admin » Appearance » Widgets » and move Gabfire Widget: Social into that MastheadOverlay zone

Penuh motif, nilai estetika

RUMAH Demang Abdul Ghani nyata mempunyai nilai estetika yang tinggi. Bagi yang tahu menghargai seni, mungkin mengambil masa berjam-jam lamanya untuk menilai satu per satu hasil seni yang terdapat di rumah tersebut.

DI bahagian serambi ini pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai informasi mengenai sejarah Rumah Demang Abdul Ghani dan Merlimau.

Melangkah saja pintu gerbang yang memisahkan kawasan rumah itu dengan jalan utama, mata pengunjung tentunya tertumpu kepada jubin di tangga Melaka serta tiang yang menyokong ‘kegagahan’ anjung rumah Melayu.

Di situ sudah dapat dilihat unsur seni bina Melayu dan Cina disatukan. Rahsia pada tangga Melayu Melaka yang seakan-akan meluas di bahagian bawahnya adalah, tangga tersebut nampak seakan tersenyum seolah-olah mengucapkan ‘selamat datang’ kepada pengunjungnya.

Ditambah pula dengan keindahan jubin dipercayai diimport dari China, maka rumah itu seakan memanggil-manggil pengunjung untuk mendekati lalu ‘meneroka’ keindahan seni bina di ruang dalamannya.

Sebaik menaiki tangga, anda akan disambut dua ekor naga berwarna emas yang terukir di atas pintu pagar kecil. Melepasi pintu itu, jangan lupa untuk mendongak kerana bumbung di situ jika diamati seolah-olah berbentuk perahu.

Itulah bahagian anjung atau juga dipanggil balai penghadapan. Di situlah Demang Abdul Ghani menerima tetamu termasuk bagi menyelesaikan masalah penduduk setempat yang mana para tetamu akan duduk di kerusi panjang gaya Victoria di sekeliling anjung berkenaan yang dihiasi dengan jeriji pagar musang.

Mungkin masih ada yang terkeliru apa peranan demang sebenarnya dan mengapa pula beliau diberi peranan menyelesaikan masalah penduduk setempat.

Sebenarnya demang bererti ketua kepada para penghulu di sesuatu kawasan. Disebabkan itu, beliau mempunyai kedudukan yang tinggi sehingga dianggap sebagai ‘raja kecil’.

Justeru demang diberi kepercayaan menyelesaikan kes-kes sivil seperti bergaduh dan melarikan anak dara orang. Selain itu, demang juga berhak mengutip cukai bagi pihak pemerintah daripada kalangan masyarakat setempat.

Berbalik kepada rumah Demang Abdul Ghani, setelah melepasi anjung rumah tersebut, maka pengunjung akan melalui bahagian serambi. Di bahagian itulah segala urusan pentadbiran dilakukan serta perbincangan sulit diadakan.

Sesudah itu, pengunjung akan melangkah ke bahagian ruang utama yang dipanggil rumah ibu. Di ruang itu terdapat bilik utama serta tangga ke loteng. Namun dua perkara yang tentunya menjadi tarikan utama adalah tiang seri serta pelamin kekal yang berada di situ.

Tiang seri yang menjadi elemen utama rumah Melayu dahulu kelihatan begitu cantik dengan empat ukiran berbeza di empat penampangnya sementara pelamin pula menampilkan elemen Cina Peranakan.

Di bahagian belakangnya pula terdapat pelantar yang turut mempunyai sebuah lagi bilik dan loteng. Berhampirannya, terletak rumah dapur dan bilik air.

Seperti lazimnya, kelemahan masyarakat dahulu adalah tiada catatan rasmi dibuat sehingga sukar untuk mana-mana pihak mengesahkan mengenai bila sebenarnya sesebuah peristiwa itu berlaku.

Sama seperti yang berlaku pada rumah ini yang dibina tanpa menggunakan sebatang paku pun. Percanggahan pendapat timbul mengenai tahun rumah tersebut dibina sama ada pada 1894, 1895 atau 1831.

Namun terdapat tulisan jawi pada bahagian atas pintu untuk masuk ke rumah ibu dari serambi bertulis 11 Rejab, 1319 yang bersamaan dengan 23 Oktober 1901. Begitu pun, tiada siapa yang mampu menafsirkan apa yang tersirat di sebalik tarikh tersebut.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>