Widgetized Section

Go to Admin » Appearance » Widgets » and move Gabfire Widget: Social into that MastheadOverlay zone

Menjejak sejarah Vietnam

BAK kata pepatah, hujan emas di negara orang hujan batu di negara sendiri, baik negara sendiri. Namun tidak salah kita mengembara untuk mengutip pengalaman.

Saya tidak bermimpi menjejak kaki ke negara yang penuh kesengsaraan akibat peperangan iaitu Vietnam.

Pengalaman tiga hari membuatkan saya terfikir alangkah baiknya negara kita, Malaysia. Walaupun kehidupan tidak mewah mana tetapi hidup di Malaysia aman, senang mencari rezeki.

Ajakan sepupu membuatkan saya teruja untuk menjejak kaki ke Vietnam walaupun tidak tahu apa yang ada di sana.

Kebetulan hari yang diajak adalah ulang tahun perkahwinan yang ke-19. Ia sebagai hadiah berbulan madu.

Saya pergi secara berkumpulan dengan Puspanita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ipoh. Pada tanggal 25 Mei 2012, kami berkumpul di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Selepas mendaftarkan diri dan membuat pemeriksaan kastam pada pukul 4.20 petang, kami menaiki kapal terbang AirAsia. Lewat 20 minit daripada dijadualkan. Penerbangan memakan masa hampir satu jam empat puluh lima minit.

Pukul 5.45 petang waktu Malaysia dan 6.45 petang waktu Vietnam, kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat – lapangan terbang terbesar di Vietnam dan hanya enam kilometer (km) dari bandar Ho Chi Minh atau nama lamanya Saigon, bandar raya yang menempatkan lebih sembilan juta penduduk dan penuh hiruk-pikuk

Akibat kelewatan, acara yang telah diatur ditunda keesokan harinya. Kami disambut oleh seorang pemandu pelancong yang bernama Ivy.

Selepas berkumpul kami dibawa ke Restoran D? Nyonya Penang yang menjual makanan halal.

Teringat bekalan makanan yang saya siapkan dari rumah kerana takut sukar mencari makanan halal. Rupanya pemikiran saya salah sama sekali.

Selepas makan barulah kami dibawa ke tempat penginapan di Hotel Ha Hien yang bersebelahan penempatan dan masjid.

Pada esoknya, barulah perjalanan sebenar bermula.

Selepas bersarapan kami dibawa ke Sungai Mekong – sungai ke-10 terpanjang di dunia. Panjangnya 4,880 km dan lembangannya seluas 812,000 km persegi.

Asal nama Sungai Mekong dari bahasa etnik Tai iaitu Mae Nam Khong. Mae Khong bermaksud Sungai Khong, induk kepada segala sungai.

Bahasa Burma memanggilnya Mae Kahung. Bahasa Thai pula ‘Mae Nam Khong’ di mana Kong bermaksud Sungai.

Hampir dua jam dalam bas barulah kami sampai ke destinasi yang dituju.

Sepanjang perjalanan saya hairan kerana hanya motosikal yang banyak di atas jalan raya.

Daripada cerita pemandu pelancong, motosikal adalah kenderaan utama penduduk Vietnam. Kereta hanya milik mereka yang benar-benar kaya.

Saya tersenyum sendirian teringatkan Malaysia.

Setelah sampai di Sungai Mekong, kami semua dibawa menaiki bot menyeberang ke kawasan perusahaan orang kampung. Kelihatan bangsal-bangsal besar dengan yang pertama, membuat gula-gula daripada santan. Kami boleh merasa dan membeli. Rasanya amat sedap, liat dan manis.

Bangsal kedua pula menunjukkan cara menghasilkan madu lebah. Selepas itu kami ke bangsal bagi menghasilkan beg diperbuat daripada kulit lembu. Semuanya buatan tangan.

Selepas membeli serba sedikit sebagai buah tangan, kami terus dibawa ke terusan kecil untuk kembali semula ke bot besar.

Saya dan suami menaiki sampan yang muat hanya dua orang.

Di dalam sungai yang kecil ini terjadi `traffic jam? gara-gara kesesakan sampan membawa penumpang kembali ke bot.

Selepas makan tengah hari, kami ke Muzium Ho Chi Minh yang dulunya istana Maharaja Vietnam, Gia Long dari 1802 hingga 1820 sebelum berubah fungsi menjadi pusat pentadbiran tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Bangunan yang tersergam bercirikan seni bina Perancis itu kemudian dijadikan kediaman perdana menteri dan pusat pentadbiran sebelum menjadi muzium menyimpan pelbagai khazanah tidak ternilai berkaitan Vietnam.

Kesan tinggalan perang dapat dilihat daripada mangsa peperangan yang cacat akibat penggunaan bom kimia, tetapi nasib dan penderitaan mereka tidak diabaikan oleh kerajaan.

Sebelah malam, kami dengan acara bebas – ada yang membeli-belah, karaoke, rehat dan memanjakan badan.

Hari ketiga, selepas sarapan, kami dibawa terus ke Terowong Chu Chi yang terletak 75 km dari Bandar Ho Chi Minh.

Terowong sepanjang 210 km ini digunakan sebagai kubu semasa perang Vietnam dahulu.

Pengalaman paling menarik di Terowong Chu Chi apabila dapat melihat peralatan perang yang dibuat sendiri oleh orang Vietnam untuk menentang askar Amerika.

Terowong yang digali dengan kudrat penduduk Vietnam sangat kecil dan terdapat tiga tingkat di bawah tanah.

Amerika kalah kerana terowong ini hanya muat untuk saiz orang Vietnam yang kecil. Saya dan suami merasai sendiri pengalaman merangkak sejauh 40 meter di dalam terowong.

Mula-mula masuk terasa agak panas tetapi lebih kurang 25 meter ke dalam terasa sejuk dan berangin.

Lebih kurang 10 meter ke pintu keluar terdapat persimpangan di dalam terowong ini, mengikut kata pemandu yang membawa lampu picit bagi menunjuk laluan menuju ke ruang mesyuarat.

Sebelah petang barulah kami dibawa ke pasar besar yang dinamakan Ben Than Market. Memang rambang mata dibuatnya terutama wanita.

Barang hiasan dan pakaian di sini dijual dengan harga yang murah. Saya tidak teruja membeli-belah sebaliknya bersama suami menyusuri sepanjang pasar besar bagi meninjau makanan yang disediakan penduduk Vietnam.

Saya dan suami mencuba masakan siput di sebuah gerai. Masakannya sedap dan lain daripada yang lain.

Memandangkan ada ahli rombongan yang masih tidak puas membeli-belah, kami ambil keputusan untuk mengikut jadual masing-masing.

Ada yang sambung shopping dan ada juga yang berjalan balik ke hotel yang hanya dua km jaraknya.

Saya dan suami memilih menaiki beca roda tiga. Kami ambil kesempatan meronda sekitar Bandar Ho Chi Minh sebelum balik ke hotel dengan bayaran AS$20.

Selepas makan malam, kami berpeluang menaiki cruise menyusuri Sungai Mekong dan melihat pemandangan malam di Saigon sambil dihiburkan dengan nyanyian dan persembahan istimewa.

Hari keempat dan terakhir, sekali lagi kami `bebas? mengatur program sendiri sebelum keluar dari hotel penginapan.

Kami berlepas pulang meninggalkan Vietnam dengan penerbangan AirAsia pukul 11.40 pagi dan tiba di LCCT lebih kurang pukul 2.15 petang.

Percutian selama empat hari di Bandar Ho Chi Minh kekal menjadi pengalaman yang amat menyeronokkan dan tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>