Widgetized Section

Go to Admin » Appearance » Widgets » and move Gabfire Widget: Social into that MastheadOverlay zone

Tepuk dada tanya selera

MENYINGKAP keindahan landskap semula jadi, pasti elemen lembut dan kejur disatukan hingga terbinanya sebuah taman lengkap, tenang serta mendamaikan.

REHAT SEKETIKA…kehadiran gazebo yang ditata hias sempurna termasuk produk ditawarkan Puri Padi.

Dalam suasana berbeza itu, Puri Padi antara lokasi yang mencuri tumpuan ramai dan sesiapa saja melewatinya tidak terlepas pandang landskap unik di depan mata.

sebelum   selepas

  • FotoBERSATU DENGAN ALAM…landskap lembut dan kejur tampil semula jadi.
  • FotoMENDAMAIKAN…elemen landskap dan air berpancuran antara tarikan di Puri Padi.
  • FotoINSPIRASI TATA HIAS…idea reka letak untuk konsep dekorasi kediaman anda.
  • FotoSENTUHAN BERBEZA…penataan luar biasa ilhamkan gaya hiasan menarik.

Di tengah keriuhan Jonker Street, Melaka, keunikan Puri Padi sedikit pun tidak tergugat kerana ia mempunyai tarikan dan kelainan tersendiri.

Sampai saja di pintu masuk, pandangan anda sudah disajikan dengan panorama serba indah dengan latar landskap semula jadi berkonsepkan Bali.

 
Bagaikan mengunjungi sebuah kediaman, suasana mendamaikan itu diserikan kolam air berpancuran lengkap dengan ekosistem hidupan ikon koi dan tumbuhan hijau.

Kehadiran gazebo yang ditata hias sempurna, kelihatan menarik dengan reka letak kerusi santai dan bahan bacaan terpilih untuk pengunjung.

Beberapa elemen landskap kejur turut menyerlahkan penataan taman secara keseluruhannya hingga membawa anda benar-benar berada dalam landskap hijau.

Menurut pemiliknya, Yong Chi Long, keindahan sebenar konsep Bali cuba diketengahkan sepenuhnya sebagai pengalaman berbeza untuk dikongsikan dengan pengunjung.

“Inspirasi penataan taman di Puri Padi memang membawa aura konsep dari Bali, Indonesia.

“Ia dilihat lebih dekat dengan alam dan manusia apabila mengaitkan elemen air, batu-batuan dan tumbuhan semula jadi sebagai latar kehijauannya,” kata anak kelahiran Melaka itu.

Landskap Puri Padi juga tidak terhenti di situ kerana laluan menuju ke ruang dalamannya disempurnakan dengan kemasan kayu landasan kereta api yang tersusun rapi bersama batu-batuan putih.

Binaan kolam air berpancuran dari bahagian pintu masuk taman turut diselarikan dengan laluan ke ruang dalaman.

Beroperasi sejak 2005, Puri Padi ialah kedai yang menawarkan pelbagai elemen buatan tangan termasuk pelengkap hiasan dalaman, kraf tangan, pakaian terpilih dan kemasan terbaik untuk ruang kediaman anda.

“Sebenarnya pihak kami tawarkan lebih dari itu. Dari binaan landskap semula jadi, bersantai di ruang gazebo hingga ketelitian reka letak aksesori hiasan dalaman semuanya dirancang rapi.

“Ini kerana pelanggan yang datang adalah tetamu eksklusif kami untuk sama-sama berkongsi idea penataan landskap dan ruang dalaman menarik,” katanya.

Seterusnya dalam meninjau ruang dalaman Puri Padi itu, ia memperlihatkan idea reka letak aksesori hiasan yang menarik di sudut sesuai selari konsep pilihan.

Bermula dengan penggayaan pasu-pasu yang dihiasi bunga-bungaan hiasan terpilih, elemen penyeri meja hingga keunikan seni sebagai latar dinding turut ditawarkan.

“Semuanya tersusun rapi dan idea reka letak dicetuskan menyamai konsep dekorasi yang anda inginkan.

“Lebih menarik kerana ia membabitkan kepelbagaian elemen hiasan dari dalam dan luar negara termasuk Vietnam, Indonesia, Nepal dan Thailand.

“Malah anda yang gemarkan cenderahati boleh menjadikan kraf tangan di Puri Padi itu sebagai koleksi terbaik sama ada sebagai hadiah atau milik peribadi,” katanya.

Bukan sekadar itu, pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai pilihan pakaian eksklusif yang diperagakan pada sudut khas.

Lengkap dengan aksesori wanita, ruang dalaman Puri Padi itu sering menjadi tumpuan ramai kerana mementingkan suasana membeli-belah yang selesa.

“Semuanya membabitkan nilai keindahan seni dari landskap, elemen hiasan ruang hingga penggayaan anda sebagai individu yang sempurna,” katanya.

Justeru lapangkan waktu untuk berkunjung ke Puri Padi di No 16, Jalan Hang Kasturi, Melaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>