Widgetized Section

Go to Admin » Appearance » Widgets » and move Gabfire Widget: Social into that MastheadOverlay zone

Dekorasi hebat berciri Islamik

SESIAPA yang melewati Restoran Arabisque pasti menjeling melihat dekorasi hebat ilham kreatif pemiliknya, Asia M S Al-Otaibi, 38.

Dari jauh auranya sudah menarik perhatian apabila ia ditatahias sempurna dalam suasana terbuka dan selesa.

Rona merah terang yang melatari segenap penjuru restoran itu cukup membuatkan pelanggan teruja dan ingin mendekatinya.

Fabrik terpilih dibawa khas dari Mesir menjadi elemen utama atau titik fokal penting yang membaluti tiang dan siling restoran itu hingga membuatkan ia kelihatan meriah.

Tidak hairanlah jika ramai yang menggelarkannya sebagai restoran ‘merah’ dengan gaya penataan tersendiri.

Bagi Asia, restoran yang dimajukan bersama suami tercinta Abdu Aziz Shabana, 34, biarpun baru beroperasi awal bulan ini, namun menjanjikan kelainan buat pelanggannya.

Selepas tujuh tahun berada di negara ini, dia dan suaminya berpendapat perlunya ada sesuatu untuk dikongsi dengan masyarakat tempatan.

Dari kesinambungan itu, kewujudan restoran yang menampilkan penataan eksklusif dengan mempertahankan nilai seni antara usaha murni pasangan berkenaan.

“Sebelum mula beroperasi, kami sudah sepakat untuk mengetengahkan dekorasi hebat tetapi masih mengekalkan ciri-ciri Islamik.

“Lantaran itu, rona merah dipilih sebagai warna utama dan ia dilihat lebih membangkitkan keceriaan dan penghargaan buat pelanggan,” kata Asia yang kini menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang pembangunan dan kualiti pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak, Selangor.

Asia berkata, dekorasi restoran itu diketengahkan supaya pelanggan bukan sekadar menikmati sajian enak yang dihidangkan, malah berpeluang menikmati pengalaman berbeza bagaikan berada di Mesir.

“Lebih membanggakan jika dekorasi ini berjaya melengkapkan suasana santai yang anda inginkan.

“Berada dalam suasana yang selesa dan tenang tentunya membuatkan minda kita lebih sihat selain menjadi terapi semula jadi,” kata anak kelahiran Makkah itu.

Kali pertama melangkah masuk, mata disajikan dekorasi konsep terbuka bercirikan Islamik sementara halwa telinga pula dihiburkan dengan alunan lagu-lagu mengasyikkan dari Timur Tengah.

Pilihan perabot kayu rona gelap digabungkan bersama alas meja merah hati melengkapkan penataan.

Diserikan juga dengan beberapa set perabot jati yang diimport khas dari Indonesia membuatkan suasana benar-benar privasi dan berada dalam kelas tersendiri.

Sementara lampu hiasan yang digantung pada setiap sudut atau ruang pilihan antara aksesori hiasan dwifungsi.

Sebaik dipasang ketika malam, suasana berbeza dicetuskan hingga membuatkan restoran itu amat unik dengan percikan rona warna dari pelbagai lampu hiasannya.

Melihat kepada reka bentuknya, sudah dapat diteka bahawa semua aksesori hiasan yang ada dalam restoran itu memang dibawa khas dari Mesir.

Kebanyakan aksesori hiasan termasuk bekas tisu dan hiasan di meja makan pula turut menarik apabila diterapkan dengan motif Arabes.

Arabes adalah motif artistik berdasarkan penerapan pengulangan corak bentuk geometri dan pola kombinasi yang pelbagai.

Ia turut membabitkan tema flora.

“Menerusi kepintaran dalam penggunaan warna dan kebijaksanaan dalam mengimbangi antara rekaan dan bentuk, secara tidak langsung dapat mewujudkan keberkesanan visual,” katanya.

Sementara latar dinding restoran itu tidak dibiarkan kosong, sebaliknya tampil unik dengan kombinasi gambar yang memaparkan suasana kehidupan di Timur Tengah.

“Ia antara tarikan hingga menjadi sudut paling digemari pelanggan untuk merakam gambar kenangan.

“Kehadirannya juga bagaikan membawa pelanggan menikmati pengalaman baru dan luar biasa,” katanya.

Justeru, jika ada kelapangan anda boleh mengunjungi Restoran Arabisque di G-1, Putra Kajang 2, Taman Putra Kajang, Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>